DENTANG loceng gereja di Kota Lama Baitulmaqdis kedengaran bertingkah dengan laungan azan dari Masjid al-Aqsa dan dengung doa orang Yahudi dalam pakaian hitam di Tembok Barat.
Dalam aktiviti keagamaan sekali pun, bandar suci kepada orang Yahudi, Islam dan Kristian itu terpecah-pecah oleh perasaan curiga-mencurigai di kalangan mereka yang mendiaminya dan mengaku memiliki bandar itu.
Persoalan siapa yang memiliki kota Baitulmaqdis adalah satu daripada beberapa isu yang dihadapi oleh para perunding Israel dan Palestin dalam rundingan damai di Kem David.
Sesetengah pengkaji berpendapat, perkataan salam dan shalom dari bahasa Arab dan Hebrew yang bermaksud kedamaian berasal dari perkataan Baitulmaqdis. Tetapi keamanan adalah suatu yang sukar ditemui di kota suci itu. Sejak zaman berzaman, nasib Baitulmaqdis banyak ditentukan dengan pertumpahan darah.
Ia tidak putus-putus diserang oleh penjajah termasuk kerajaan Rom, pahlawan Arab dan Parsi, pahlawan Salib dan yang terbaru, tentera Israel yang menawan Kota Lama Baitulmaqdis daripada Jordan pada tahun 1967.
Setelah berada dalam kekacauan selama beberapa abad, nasib Baitulmaqdis akhirnya dibincangkan di meja rundingan, jauh dari Timur Tengah, di pergunungan Catoctin di Washington.
Palestin mahu Baitulmaqdis Timur termasuk Kota Lama, menjadi ibu negara sebuah Palestin merdeka. Israel mahu Baitulmaqdis kekal menjadi ibu negaranya ”abadi dan tidak dibahagi-bahagi” tetapi membayangkan ia bersetuju untuk menyerahkan kepada Palestin kedaulatan terhad ke atas wilayah arab di pinggir bandar itu.
Di dalam Kota Lama, yang masa depannya menjadi tumpuan dalam rundingan itu, jalan-jalan dipenuhi dengan para penduduk bandar itu yang terdiri daripada empat kumpulan – orang Armenia, Yahudi, Islam dan Kristian.
Orang-orang pelbagai bangsa itu, seperti seni bina Kota Lama yang bercampur aduk, menjadi saksi kepada sejarah Baitulmaqdis yang kacau.
Berjalan di celah runtuhan bangunan di perkampungan yang sudah ada sejak zaman Nabi Isa, Avi Gispar menunjukkan tempat mandi yang dipunyai oleh orang Yahudi sebagai bukti bahawa Yahudi telah lebih awal mendiami Baitulmaqdis.
”Orang Arab patut datang melihat fakta sejarah ini. Ini bukti Yahudi telah lama berada di sini, sebelum mereka,” kata Gispar, kaum Yahudi generasi ketiga di Baitulmaqdis.
Muzium di kawasan Yahudi menempatkan tapak penemuan arkeologi villa milik hartawan Yahudi pada zaman Kuil Yahudi Kedua.
Orang-orang Rom membakarnya ketika mereka menyerang Baitulmaqdis pada tahun 70 selepas Masihi.
Kesan-kesan dinding batu yang terbakar adalah tinggalan satu daripada sejumlah perang yang dilalui oleh bandar itu.
Kata Gispar, sukar hendak dibayangkan Baitulmaqdis atau mana-mana bahagian Kota Lama diserahkan kepada pemerintahan Palestin. Baitulmaqdis katanya, adalah jantung orang Yahudi.
”Semua Yahudi di serata dunia bersembahyang menghadap ke Baitulmaqdis. Tetapi orang Islam, walaupun duduk di Baitulmaqdis, sembahyang menghadap ke Mekah,” katanya.
Di perkampungan orang Islam, penduduknya mempunyai pandangan yang berbeza.
”Baitulmaqdis adalah jantung dunia Islam. Ia mempunyai makna yang besar kepada orang Islam dan tiada siapa berhak menyerahkannya kepada Yahudi,” kata Raid Dana yang memiliki sebuah kedai menjual al-Quran.
Kata beliau, menurut sejarah Islam, seluruh kota itu patut diletakkan di bawah kekuasaan Palestin dan beliau menolak dakwaan Gispar bahawa kota itu telah lama menjadi milik Yahudi sebelum orang Islam.
”Orang Yahudi sendiri tahu, malah daripada kerja mengorek yang mereka lakukan bahawa Baitulmaqdis bukan milik mereka,” katanya.
”Semua yang mereka temui menunjukkan Baitulmaqdis adalah sebuah kota Islam dan bukan bandar Yahudi,” kata Dana.
Beliau tidak menolak dakwaan Gispar bahawa kota itu dibangunkan oleh Nabi Daud 3,000 tahun yang lalu, tetapi bertanyakan sejarahnya.
”Baginda bukan seorang Yahudi tetapi pesuruh Allah,” katanya.
Latar langit Baitulmaqdis sendiri mencerminkan ketegangan agama itu. Menara gereja bersaing dengan kubah perak masjid ketiga suci, Masjid al-Aqsa. Bendera Israel berkibar dari bumbung rumah-rumah Yahudi sebagai tanda pemilikan.
Di kawasan penempatan Armenia, penduduknya bimbang mendengar khabar angin dari Kem David bahawa Kota Lama akan dibahagi-bahagikan.
”Tiba-tiba dua buah kerajaan akan mengawal sebuah kawasan seluas satu kilometer persegi. Tidak munasabah, apa mereka hendak buat? Letak dinding di tengahnya?” tanya seorang tukang tembikar berbangsa Armenia, Garo Sandrouni.
”Kami tidak kisah duduk di bawah pemerintahan siapa pun. Apa yang kami mahu ialah jangan pecahkan bandar ini,” katanya, meminjam sikap diplomasi yang banyak membantu orang Armenia hidup di Baitulmaqdis sejak berkurun-kurun.
Orang-orang Kristian di kawasan penempatan Kristian agak sinikal tentang peluang kedamaian akan dikecapi di bandar itu buat pertama kali dalam sejarah.
”Ia telah tertulis, ‘berdoalah untuk keamanan Baitulmaqdis’,” kata seorang lelaki Kristian yang tidak mahu dikenali. ”Saya tidak tahu berapa lama lagi keadaan akan aman dan kami boleh berhenti berdoa,” katanya. – Reuters
Europe Travel Made Easy - Schengen Visa
-
*What is Schengen Visa?*
If you plan to travel to European countries that implement Schengen
agreement, a "Schengen Visa" simplifies your travel between ...
15 years ago
No comments:
Post a Comment